Showing posts with label Isu. Show all posts
Showing posts with label Isu. Show all posts

Wednesday, February 23, 2011

Berita baik buat rakyat Sabah

K'jaan disaran utamakan rakyat Sabah jadi guru


24th February, 2011
TAWAU: Kementerian Pelajaran diminta mempertimbangkan cadangan agar rakyat Sabah diberi keutamaan bagi mengikuti kursus perguruan di institut latihan perguruan yang ada di negeri ini.
Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata cadangan itu bagi mengurangkan kadar penghijrahan guru berkualiti dan berpengalaman dari Sabah.

“Sabah sering kehilangan guru-guru berkualiti dan berpengalaman apabila guru terbabit kembali ke negeri asal mereka di Semenanjung. Bagaimanapun, ini tidak bermakna orang Sabah menolak kehadiran guru-guru dari Semenanjung untuk mengajar dan menabur bakti dalam bidang pendidikan di negeri ini,” katanya kepada pemberita, di sini kelmarin.

Sunday, November 8, 2009

Dilema Kakitangan Persekutuan di Sabah

Oleh: JAIMIS KUTEM

KONSEP 1 Malaysia yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini mendapat sambutan baik dari seluruh rakyat Malaysia dan tidak kurang juga yang tidak bersetuju terutama sekali di Negeri Sabah. 

Konsep ini dikatakan dapat membantu seluruh lapisan masyarakat untuk menyamaratkan apa jua jurang perbezaan antara semua kaum di Malaysia. Jika kita dengar melalui ceramah, Ucapan dan akhbar tempatan konsep ini memang baik. 

Friday, September 11, 2009

NIK AZIZ: TERIMA KASIH, SAYA TIDAK BERMINAT

Oleh: MOHD ZUHARMAN
SEBAGAIMANA dijangka, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan sikapnya, tidak sedia berbincang dengan UMNO kerana ia isu lama dan tidak perlu dibangkitkan lagi.

PAS, katanya,  tetap dengan prinsipnya tidak akan bersetuju untuk mengadakan sebarang rundingan dengan Umno selagi parti itu tetap dengan apa yang ada padanya sekarang.

Kenyataan itu ditegaskan Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan itu di pejabatnya petang ini sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Umno sanggup berunding dengan PAS untuk kepentingan umat Islam negara ini.

Najib menyuarakan hasrat tersebut di dalam ucapannya pada satu majlis ramah mesra dan berbuka puasa bersama rakyat di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai petang semalam.

Pada majlis yang sama Najib turut mengumumkan kerajaan pusat telah meluluskan projek pembangunan kawasan Manek Urai sebanyak RM8.9 juta sebagai menepati janji pilihan raya kecil Dun Manek Urai 14 Julai lepas.

Antara projek yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat Manek Urai sampai sekarang ialah janji Barisan Nasional akan membina jambatan baru menghubungkan Manek Urai Lama dengan Manek Urai Baru.
Namun Nik Aziz, masih meragui keikhlasan Umno. Baginya, sekiranya Umno benar-benar ingin jaga Islam lebih baik Umno terus bertindak menukar dasar partinya supaya keikhlasan itu terbukti pada seluruh rakyat.
Bagaimanapun beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan pusat menyediakan peruntukan pembangunan bagi Dun Manek Urai, dan berharap peruntukan itu akan terus dikesinambungkan kerana ia memang menjadi tanggungjawabnya.

Di Kuala Lumpur, Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub menyifatkan tawaran Najib untuk sekian kalinya kerana Umno sekarang sedang tersepit.

Umno perlukan PAS untuk menyokongnya selepas terperangkap dalam isu perkauman yang diciptanya sendiri, kata Salahudin.

Sumber : Sabahkini.net

Friday, September 4, 2009

UMNO Tidak Ada Dosa ?

Saya terpanggil untuk memberi respon dalam Sabahkini.net kenyataan yang dikeluarkan oleh editor jesselton today berkenaan komen beliau terhadap kenyataan yang dibuat oleh Ketua AMK Sabah, Sdr Razak Jamil. Lanjutan daripada itu, Sdr Awang Damit turut memberikan pandangan balas beliau yang menyentuh permasalahan individu dan kaitannya dengan parti iaitu UMNO yang disebut jelas dalam komentar beliau.


Saya mengamati permasalahan yang ditimbulkan dan cuba memberikan pandangan dari sudut seorang muslim. Samada ia isu individu atau parti, pada saya ia mesti dikembalikan kepada tapak asal yang menjadi asas kepada seorang individu tersebut atau sesebuah parti politik iaitu kembali kepada Islam yakni Al Quran dan sunnah.


Apakah benar wujud pengasingan identiti individu dan parti yang dianggotainya? Apakah dalam kes seperti diatas, puteri UMNO tersebut tidak boleh dikaitkan dengan parti UMNO?


Al Quran telah menjelaskan keluasan ruang yang telah diberikan kepada seorang individu, atau apa yang dinamakan hak individu dan begitu juga dengan batas-batasnya, diperincikan satu persatu dan dihuraikan lagi oleh sunnah Nabi Muhammad S.a.w.


Seperti perintah Allah s.w.t kepada setiap individu dalam surah At Tahrim yang maksudnya :




“Wahai orang-orang yang beriman, lindungilah dirimu dan ahli keluargamu dari api Neraka. Ia dijaga dan dikawal oleh Malaikat yang amat keras dan kasar sifatnya. Mereka tidak pernah durhaka kepada Allah malah sentiasa melaksanakan apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka” [al-Tahrim 66: 6]


Merujuk kepada surah di atas, antara hak seseorang individu iaitu kebebasannya untuk menjalani fitrahnya sebagai manusia iaitu membina keluarga dan menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Namun disana Allah menjelaskan bentuk-bentuk hubungan dan batas-batas kekeluargaan iaitu menjauhkan ahli keluarga dari api neraka. Ini dalam soal individu dan tanggungjawab kepada keluarga.


Apabila ia dikaitkan dengan parti yang memerintah negara ini iaitu UMNO, kes puteri UMNO tersebut lebih tepat dibincangkan dengan tajuk yang lebih besar iaitu apakah "dasar kepimpinan" yang dilaksanakan?


Saya memetik dalam surah Shaad yang berbunyi :

“Hai Daud! Sesungguhnya kami menjadikan kamu (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsumu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan”
(Surah Shaad ayat 26)


Maksud adil dalam surah diatas iaitu kembali kepada usaha untuk menjadikan hukum Islam sebagai panduan dan dasar barulah tercapai makna adil tersebut. Maka menjadi tanggungjawab kepimpinan untuk melaksanakan prinsip-prinsip Islam dalam semua urusan kehidupan termasuklah urusan politik.


Kepimpinan yang tidak mahu melaksanakan hukum Islam yakni tidak mahu menjadikan Al Quran sebagai dasar pemerintahan akan menjerumuskan orang bawahannya kepada kezaliman, kesesatan dan tenggelam dengan hawa nafsu.


kes Puteri UMNO diatas hanyalah sekelumit kes yang berlaku dari banyaknya kes-kes yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Usah sebut soal rasuah siapa kepalanya kalau bukan pemimpin UMNO. Usah sebut soal pecah amanah, soal penyelewengan, soal putar belit, soal rampas hak rakyat kalau bukan pemimpin UMNO yang mencipta rekod terbaik. Apakah UMNO tidak ada Dosa?


Ya, UMNO berdosa. Dosa paling besar UMNO iaitu menolak perlaksanan Al Quran dan Sunnah sebagai dasar dalam berpolitik!

dppsabah.blogspot

Monday, August 31, 2009

Hadiah hari merdeka, harga minyak naik lagi?

KUALA LUMPUR, 31 Ogos: Rakyat mendapat hadiah istimewa sempena menyambut Hari Kemerdekaan tahun ini apabila harga petrol dipercayai akan mula naik mulai tengah malam ini.

Menurut sumber, Ron 95 akan naik dari RM1.75 ke RM1.80 malam ini manakala F1 akan naik dari RM1,80 ke RM2.05. Bagaimanapun sehingga kini tidak ada sebarang pengumuman rasmi mengenainya.

"Ketika ekonomi rakyat meleset dan bakal berhadapan dengan hari raya Aidil Fitri, inilah hadiah kerajaan BN kepada kita," kata Salahudin Ayub, Naib Presiden PAS.

PAS bersama dengan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat serta NGO prihatin telah beberapa kali membantah kenaikan minyak sehingga ramai antara mereka terpaksa bermalam dalam lokap.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan debat khas dengan Menteri Penerangan sebelum ini, Datuk Ahmad Shabery Cheek bagi membincangkan isu kenaikan harga minyak ini.

Dipercayai, kenaikan kali ini akan membuatkan kemarahan rakyat kembali semula dan bakal menjana protes sekali lagi.

Ini kerana, barangan keperluan harian sebagaimana biasa akan naik menjelang hari perayaan nanti.
"Kenaikan harga minyak akan menambahkan lagi beban rakyat," kata Salahudin. _

Sunday, August 23, 2009

KEMISKINAN RAKYAT VS KEKAYAAN YB SABAH

Anggo- ta Pentadbiran Negeri dan Ahli Dewan Undangan Ne- geri (Adun) mendapat pela- rasan dengan pemberian kenaikan gaji antara 10 hingga 30 peratus berkuatkuasa mulai 1 Jun tahun ini.

Rang Undang-Undang Anggota Petadbiran dan Adun (saraan) (pindaan) 2009 yang dibentangkan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Mente- ri, Datuk Radin Malleh dan diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri kelmarin.


Ketika membentangkan Rang Undang-Undang itu, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Radin Maleh berkata, ianya bertujuan untuk memberi pelarasan kepada saraan atau gaji Anggota Pentadbiran Negeri pada kadar 10 peratus daripada gaji pokok bagi Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri, Menteri, Speaker, Pembantu Menteri, Timbalan Speaker, Adun dan Setiausaha Politik.


Katanya, pelarasan gaji itu adalah berpatutan dan wajar dengan mengambil kira keni- kan kos barangan dan perkhidmatan semasa serta beban tugas dan tanggungjawab Ang- gota Pentadbiran dan Adun yang kian mencabar.


“Ini selaras dengan Halatuju Negeri dan dasar-dasar pembangunan nasional terkini yang digariskan oleh pucuk pimpinan negeri dan negara,” katanya.


Radin berkata, pelarasan gaji terakhir telah dibuat da- lam tahun 2000, justeru semakan bagi pelarasan yang baru adalah amat wajar selaras dengan pemberian kenaikan gaji 10 hingga 30 peratus kepada Anggota Perkhidmatan Awam.


Berikutan dengan pelara- san itu, saraan atau gaji Ang- gota Pentadbiran dan Adun adalah seperti berikut: Ketua Menteri daripada RM14,300 kepada RM15,730, Timbalan Ketua Menteri daripada RM- 12,650 kepada RM13,915.


Menteri dan Speaker daripada RM9,900 kepada RM10, 890, Pembantu Menteri dan Timbalan Speaker daripada RM7,700 kepada RM8,470.


Adun daripada RM3,300 kepada RM5,300 (kenaikan RM2,000), Setiausaha Politik daripada RM3,300 kepada RM3,630. NST


Sidang DUN Sabah Lulus Kenaikan Gaji Menteri Kabinet, ADUN

KOTA KINABALU, 3 Ogos (Bernama) -- Persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan pindaan Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan (Saraan) 1981 yang menyaksikan kenaikan gaji pokok bulanan sekitar 10 peratus bagi Ketua Menteri, anggota kabinet negeri dan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) berkuatkuasa 1 Jun lepas.


Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Radin Malleh, ketika membentangkan rang undang-undang itu, berkata penyelarasan gaji itu berpatutan dan wajar dengan mengambil kira kenaikan kos barangan dan perkhidmatan semasa serta beban tugas dan tanggung jawab yang dipikul.


Katanya ia juga selaras dengan pemberian kenaikan gaji antara 10 dan 30 peratus kepada anggota perkhidmatan awam.


Pelarasan terakhir untuk anggota pentadbiran dan anggota Dewan Undangan Negeri Sabah dibuat pada 2000, dan oleh itu semakan bagi penyelarasan yang baru amat wajar, katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Likas, dekat sini hari ini.


Menerusi pindaan itu, Radin berkata saraan atau gaji Ketua Menteri naik daripada RM14,300.00 kepada RM15,730.00, Timbalan Ketua Menteri daripada RM12,650.00 kepada RM13,915.00 dan Menteri daripada RM9,900.00 kepada RM10,890.00.


Beliau berkata gaji Speaker pula naik daripada RM9,900.00 kepada RM10,890.00 manakala timbalan Speaker dan pembantu menteri masing-masing menikmati kenaikan yang sama daripada RM7,700 kepada RM8,470.00


Radin berkata gaji bagi 60 anggota Dewan Undangan Negeri juga naik daripada RM3,300 kepada RM5,300 manakala setiausaha politik naik daripada RM3,300 kepada RM3,630.00.


Dewan Undangan Negeri Sabah turut meluluskan rang undang-undang perbekalan tambahan pertama (2009) yang memerlukan peruntukan tambahan RM294,152,020.


Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata peruntukan tambahan yang terbesar dalam anggaran perbekalan tambahan pertama itu adalah RM54.8 juta yang diperlukan antara lain menampung kos kerja-kerja mendesak bagi menyenggara dan membaiki paip air utama yang sudah lama dan bocor, penyenggaraan dan pembaikan paip retikulasi serta sambungan paip yang rosak.


Beliau berkata kerja penyenggaraan dan pembaikan itu perlu diteruskan bagi memastikan kemudahan bekalan air kepada para pengguna tidak terjejas.


Peruntukan tambahan RM25 juta juga diperlukan untuk menampung kos pemindahan paip air utama yang terlibat dalam projek pembesaran jalan raya manakala RM8.5 juta dikehendaki untuk menampung kos penyenggaraan dan penggantian jangka air yang sudah lama dan rosak, katanya.


Musa berkata peruntukan tambahan lain akan dibelanjakan untuk menampung perbelanjaan skim bantuan khas kepada pekebun-pekebun kecil kelapa sawit, membaik pulih kerosakan kemudahan awam akibat banjir dan ribut dan perbelanjaan emolumen dan operasi Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (Sedia).


BERJAYAKAH SHAFIE AFDAL TAWAN KEDAH?

MISI Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal untuk menawan Kerajaan Negeri Kedah mungkin akan berjaya jika Pakatan Rakyat leka setelah Adun Lunas (PKR), yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah (Pelancongan, Pembangunan Masyarakat & Tenaga Manusia), Mohd Radzi Salleh (gambar kanan berketayap) mengisytiharkan dirinya keluar parti dan menjadi Adun Bebas.

Bagaimanapun, Shafie harus bertanggung jawab di atas cubaan dan tindakan beliau memancing keluar Adun PKR tersebut dengan habuan yang lumayan dan seharusnya berhadapan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh pemimpin UMNO peringkat akar umbi di Kedah.

Ketua Pemuda Pas Sabah, Lahirul Latigu (berbaju merah hati), menjelaskan bahawa beliau tahu siapa yang memainkan peranan memancing Adun PKR dan sedang berusaha memancing sekirang-kurang tiga lagi Adun agar meninggalkan parti tersebut dengan ganjaran yang lumayan, sama dengan modus operandi yang dijalankan di Perak dan Sabah sebelum ini.

"Kita telah lama mengekori seorang jutawan dari Sandakan, Sabah yang amat rapat dengan Shafie dan kita mempunyai bukti pertemuan mereka sebelum ini. Kita akan serahkan bukti kepada pihak berwajib apabila tiba masa yang sesuai," ujar Lahirul yang kesal dengan cara Shafie cuba mendapatkan kuasa melalui pintu belakang.

Lahirul menegaskan pihaknya mengutuk tindakan membeli 'Adun' oleh mana-mana pihak kerana memegang prinsip demokrasi disebabkan Adun atau Ahli Parlimen yang dipilih berdasarkan parti yang diwakili dan bukannya peribadi tokoh berkenaan.

"Sewajarnya Mohd Radzi meletakkan jawatan setelah keluar daripada PKR dan tidak menggunakan tiket parti untuk kepentingan diri. Dia mahu keluar Pakatan, dia boleh keluar tetapi jangan bawa kerusi yang dimenangi atas tiket PKR," tegas Lahirul yang mengecam tindakan Mohd Radzi yang mengekalkan potfolio Exconya sekalipun kini menjadi Adun bebas.

Bagaimanapun Lahirul enggan mengulas sama ada Adun tunggal DAP, Lim Guan Aik yang telah mengumumkan menjadi ahli bebas pada 4 Julai lalu adalah atas pengaruh Shafie atau tokoh lain kerana mereka masih menjalankan pemantauan.

Percubaan koresponden Sabahkini.net di Kedah untuk menghubungi Mohd Radzi di pejabatnya di No. 76 Tingkat 1, Taman Sri Limau, 09600 Lunas, Kedah Darul Aman gagal kerana dimaklumkan beliau berada di Kuala Lumpur.
http://www.sabahkini.net

Saturday, August 22, 2009

Tinggalkan Umno dengan syurga rasuahnya, kata Nik Aziz

KUALA LUMPUR, 22 Ogos: Walaupun diserang dari pelbagai penjuru setelah kenyataannya disalah lapor oleh sebuah agensi berita, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap bertegas dengan pendiriannya bahawa Umno memperjuangkan "Islam palsu".
Sambil mengajak semua pihak meninggalkan Umno dengan syurga politik wangnya, dalam pesanannya kepada para pengundi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, beliau yakin pengundi yang beragama Islam akan menyokong PAS yang memperjuangkan Islam yang lengkap sempurna dan bukan Islam yang diterima sebahagiannya serta ditolak sebahagiannya.
Kepada para pengundi bukan Islam pula, beliau mengajak mereka mengundi PAS untuk merintis laluan kepada sistem kerajaan yang akan "menyemak institusi kehakiman, pelaksanaan 'rule of law' dan perjalanan demokrasi".
"Bagi pengundi Islam tanpa mengira bangsa, mereka tentu ingin merakamkan sokongan mereka kepada sebuah gerakan Islam yang membawa perjuangan Islam syamil yang sebenar." Mereka tidak sanggup memangkah parti Umno yang mengamalkan Islam dari klon sekular; agama suku dan politik suku.
"Mana boleh diasingkan iman dengan Islam dan Islam dengan politik?" kata Menteri Besar Kelantan itu.
Menurut beliau, "Islam jenis sekular yang diperjuangkan oleh Umno inilah yang saya namakan sebagai Islam palsu".
Sebagaimana adanya wang palsu, rambut palsu atau kad pengenalan palsu, kata Tuan Guru, begitu jugalah dengan Islam palsu.
"Benda palsu; nampak macam sebenar tetapi ia tetap tidak asli. Bagi yang ahli, dia akan tetap tahu membezakan antara bunga hidup dengan bunga plastik.
"Dengan keadaan tidak tulin itulah timbulnya keraguan."Soalnya bolehkah yang diragu-ragu (syak) itu dibawa untuk mendapatkan anugerah syurga Allah di akhirat kelak?"Saya bercakap dari sudut aqidah dan kaedah. Jika buat begini ia boleh jadi begini. Jika tidak sempurna wudhu�, amalan sembahyang tidak diterima. Jika tolak Islam dari Allah, maka dengan apa nak digantikan? "Ini bukan soal saya mendahului Tuhan atau lebih tahu dari Tuhan. Ini soal kaedah," beliau menjelaskan.
Beliau percaya, para pengundi Islam di DUN Permatang Pasir boleh dengan mudah memahami persoalan ini.
Kepada para pengundi bukan Islam pula, beliau mengajak mereka mengundi PAS untuk merintis laluan baru agar Malaysia akan menjalani proses tajdid, transformasi dan reformasinya yang sebenar melalui sistem kerajaan yang akan "menyemak institusi kehakiman, pelaksanaan �rule of law� dan perjalanan demokrasi".
Tuan Guru mengajak semua pihak mengekalkan kerusi yang sudah dikuasai oleh Pakatan rakyat (PR) dan dapatkan sebanyak mungkin kerusi-kerusi tambahan dari Umno Barisan Nasional (BN) jika berlaku lagi pilihan raya kecil.
"Tinggalkan Umno dengan syurga politik wangnya.
"Mari kita terus istiqamah untuk tetap berada di tengah-tengah gelora kesedaran rakyat demi menafikan Umno/BN yang sudah laih dan kehilangan stamina mulai sekarang."Jangan tertipu lagi untuk percayakan slogan-slogan baru yang dikitar semula. Dulu Islam Hadhari. Kini 1Malaysia pula. Esok entah apa pulalah. 
"Umno ni nak jadi apa, entahlah. Nak kata udang pun tidak. Ikan pun bukan. Ingatlah pesan pepatah Melayu: Jika sudah kepalanya ular, mustahil ekornya belut," kata beliau.
Beliau menyeru semua pihak menggunakan kesempatan membuang undi pada kali ini dengan penuh cermat.
"Walaupun kita berpuasa dan kemungkinan kita boleh jadi letih tetapi tidakkah Peperangan Badar yang berlaku dalam bulan Ramadhan itu pernah membawa kemenangan yang besar? 
"Tiada perbuatan yang lebih mulia pada hari mengundi di bulan Ramadhan pada kali ini melainkan memangkah parti yang boleh membela maaruf dan kebaikan; sekaligus menolak kemungkaran, rasuah, kezaliman dan ketidak adilan," katanya.
Tuan Guru sebelum disalah lapor oleh sebuah agensi berita yang mendakwa beliau berkata, anggota Umno tidak akan masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu dari Palestin.
Bagaimanapun, setelah di desak, media pro-BN menyiarkan transkripsi kenyataannya dan terbukti kenyataan beliau tidak dilaporkan dengan betul.
Dalam transkripsi kenyataannya, beliau berkata:"Tiada sebab langsung orang Islam tolak Islam. Islam yang dibawa oleh Umno ini Islam kacukan, Islam plastik. Macam duit palsu, ubat palsu, makanan palsu. Ini Islam palsu yang dibawa Umno. "Islam ini tidak boleh bawa ke akhirat, tidak boleh bawa ke syurga, dia boleh bawa dekat pintu kubur. Bertengkar atas muka tak habis-habis dengan Melayu sendiri boleh bertengkar." _ 

Up 2 Date Blogger